PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
PART XI - KUASA KHAS MENENTANG PERBUATAN SUBVERSIF, KEGANASAN TERANCANG, DAN PERBUATAN DAN JENAYAH YANG MEMUDARATKAN ORANG AWAM DAN KUASA DARURAT
Perkara 150. Proklamasi darurat.
(1) Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.
(2) Proklamasi Darurat di bawah Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir benar berlaku.
(2A) Kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Perkara ini termasuklah kuasa untuk mengeluarkan Proklamasi-Proklamasi yang berlainan atas alasan-alasan yang berlainan atau dalam hal-hal keadaan yang berlainan, sama ada suatu Proklamasi atau Proklamasi-Proklamasi telah dikeluarkan atau tidak oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (1) dan Proklamasi atau Proklamasi-Proklamasi itu sedang berkuat kuasa.
(2B) Jika pada bila-bila masa semasa suatu Proklamasi Darurat sedang berkuat kuasa, kecuali apabila kedua-dua Majlis Parlimen sedang bersidang serentak, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang didapatinya perlu mengikut hal keadaan.
(2C) Sesuatu ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah mempunyai kuat kuasa dan kesan yang sama sebagaimana Akta Parlimen, dan hendaklah terus berkuat kuasa dan berkesan sepenuhnya seolah-olah ordinan itu ialah Akta Parlimen sehingga ordinan itu dibatalkan atau diungkaikan di bawah Fasal (3) atau sehingga ordinan itu luput di bawah Fasal (7); dan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memasyhurkan ordinan di bawah Fasal (2B) boleh dijalankan berhubung dengan apa-apa perkara mengenainya Parlimen berkuasa membuat undang-undang, tanpa menghiraukan tatacara perundangan atau tatacara lain yang dikehendaki diikuti, atau perkadaran jumlah undi yang dikehendaki diperoleh di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen.
(3) Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya menurut kuasa Proklamasi atau ordinan itu atau tanpa menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan suatu Proklamasi baru di bawah Fasal (1) atau memasyhurkan apa-apa ordinan di bawah Fasal (2B).
(4) Semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa, kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah, walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, meliputi apa-apa perkara dalam kuasa perundangan sesuatu Negeri dan pemberian arahan kepada Kerajaan sesuatu Negeri atau kepada mana-mana pegawai atau pihak berkuasa Negeri itu.
(5) Tertakluk kepada Fasal (6A), semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa, Parlimen boleh, walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara, jika didapati oleh Parlimen bahawa undang-undang itu dikehendaki oleh sebab darurat itu; dan Perkara 79 tidaklah terpakai bagi suatu Rang Undang-Undang untuk sesuatu undang-undang yang sedemikian atau bagi sesuatu pindaan kepada sesuatu Rang Undang-Undang yang sedemikian, dan juga tidaklah terpakai mana-mana peruntukan Perlembagaan ini atau peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang menghendaki apa-apa keizinan atau persetujuan bagi meluluskan sesuatu undang-undang atau apa-apa rundingan mengenainya atau yang menyekat permulaan kuat kuasa sesuatu undang-undang selepas undang-undang itu diluluskan atau yang menyekat Rang Undang-Undang daripada dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan olehnya.
(6) Tertakluk kepada Fasal (6A), tiada peruntukan mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Perkara ini, dan tiada peruntukan mana-mana Akta Parlimen yang diluluskan semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa dan yang mengisytiharkan bahawa didapati oleh Parlimen undang-undang itu dikehendaki oleh sebab darurat, boleh menjadi tidak sah atas alasan ketidakselarasan dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini.
(6A) Fasal (5) tidak boleh memperluas kuasa Parlimen mengenai apa-apa perkara hukum Syarak atau adat Melayu atau mengenai apa-apa perkara undang-undang atau adat anak negeri di Negeri Sabah atau Sarawak; dan juga Fasal (6) tidak boleh menjadikan sah mana-mana peruntukan yang tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan ini yang berhubungan dengan apa-apa perkara sedemikian atau berhubungan dengan agama, kewarganegaraan, atau bahasa.
(7) Apabila habis tempoh enam bulan yang bermula dengan tarikh sesuatu Proklamasi Darurat terhenti berkuat kuasa, apa-apa ordinan yang dimasyhurkan menurut Proklamasi itu dan, setakat yang undang-undang itu tidak dapat dibuat dengan sahnya jika tidak kerana Perkara ini, apa-apa undang-undang yang dibuat semasa Proklamasi itu berkuat kuasa, hendaklah terhenti berkuat kuasa, kecuali tentang perkara-perkara yang telah dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan sebelum habis tempoh itu.
(8) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini-
(a) | hal puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut dalam Fasal (1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan; dan | |
(b) | tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan- | |
(i) | sesuatu Proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu perisytiharan yang dibuat dalam Proklamasi itu yang bermaksud seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1); | |
(ii) | kuat kuasa berterusan Proklamasi itu; | |
(iii) | mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B); atau | |
(iv) | penerusan kuat kuasa mana-mana ordinan itu. |
(9) Bagi maksud Perkara ini Majlis-Majlis Parlimen hendaklah dikira sebagai bersidang hanya jika ahli setiap Majlis itu masing-masingnya berhimpun bersama dan menjalankan urusan Majlis itu.
____________________________________
CATATAN
Per. 150:
Fasal (1):
1. Perkataan "sama ada disebabkan oleh peperangan atau pencerobohan dari luar negeri atau kekacauan di dalam negeri" yang terdapat selepas "adalah terancam oleh kerananya," dipotong oleh Akta 26/1963, subseksyen 39(1), berkuat kuasa dari 16-9-1963.
2. Fasal (1) dan (2): Digantikan oleh Akta A514, seksyen 15, berkuat kuasa dari 15-5-1981. Fasal (1) dan (2) yang dahulu berbunyi seperti yang berikut:
"Proklamasi darurat. | 150. (1) Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku dan keselamatan atau kehidupan ekonomi Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam kerananya, sama ada disebabkan oleh peperangan atau pencerobohan dari luar negeri atau kekacauan di dalam negeri, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat. |
(2) Jika Proklamasi Darurat dikeluarkan dalam masa Parlimen tidak bersidang, maka Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dengan seberapa segera yang dapat dilaksanakan, dan sehingga kedua-dua Majlis Parlimen bersidang, Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan ordinan-ordinan yang mempunyai kuat kuasa undang-undang jika berpuas hati bahawa tindakan serta-merta dikehendaki.". |
3. Perkataan "Yang di-Pertuan Agong" digantikan dengan perkataan "Perdana Menteri" dan perkataan "boleh" digantikan dengan "dia hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong dengan sewajarnya dan Yang di-Pertuan Agong hendaklah kemudiannya" kedua-duanya oleh Akta A566, seksyen 20, berkuat kuasa dari 16-12-1983.
4. Lihat Proklamasi dalam P.U.271/1964, P.U. 339A/1966, P.U.(A) 145/1969.
Fasal (2): Perkataan "Yang di-Pertuan Agong" digantikan dengan perkataan "Perdana Menteri" dan perkataan "dan menasihati Yang di-Pertuan Agong dengan sewajarnya" dimasukkan selepas perkataan "yang mengancam itu" oleh Akta A566, seksyen 20, berkuat kuasa dari 16-12-1983.
Fasal (2A): Ditambahkan oleh Akta A514, seksyen 15, berkuat kuasa dari 15-5-1981. Perkataan "untuk mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat" dimasukkan selepas perkataan "oleh Perkara ini"; perkataan "sebagaimana dinasihatkan oleh Perdana Menteri," dimasukkan selepas perkataan "hal-hal keadaan yang berlainan". Perkataan "oleh Yang di-Pertuan Agong" dipotong. Pindaan-pindaan ini dibuat oleh Akta A566, seksyen 20, berkuat kuasa dari 16-12-1983.
Fasal (2B): Ditambahkan oleh Akta A514, seksyen 15, berkuat kuasa dari 15-5-1981. Perkataan "Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang didapatinya dikehendaki mengikut hal-hal keadaan" digantikan dengan "Perdana Menteri berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu diambil tindakan serta-merta, maka dia hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang didapati perlu oleh Perdana Menteri, dan Yang di-Pertuan Agong hendaklah kemudiannya memasyhurkan ordinan-ordinan itu dengan sewajarnya" oleh Akta A566, seksyen 20, berkuat kuasa dari 16-12-1983.
Fasal (2C): Ditambahkan oleh Akta A514, seksyen 15, berkuat kuasa dari 15-5-1981. Perkataan "Yang di-Pertuan Agong" dipotong oleh Akta A566, seksyen 20, berkuat kuasa dari 16-12-1983.
Fasal (3):
1. Fasal yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 10/1960, seksyen 29, berkuat kuasa dari 31-5-1960, dan menggantikan Fasal asal yang berbunyi seperti yang berikut:
"(3) Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa-
(a) | sesuatu Proklamasi, apabila habis tempoh dua bulan mulai tarikh Proklamasi itu dikeluarkan; dan |
(b) | sesuatu ordinan, apabila habis tempoh lima belas hari mulai tarikh kedua-dua Majlis bersidang pertama kali, |
melainkan jika, sebelum habis tempoh itu, Proklamasi atau ordinan itu telah diluluskan melalui suatu ketetapan setiap Majlis Parlimen.".
2. Perkataan "Fasal (22)" (di dua tempat) digantikan dengan "Fasal (2B)" oleh Akta A514, seksyen 15, berkuat kuasa dari 15-5-1981.
3. Perkataan "Yang di-Pertuan Agong" dipotong oleh Akta A566, seksyen 20, berkuat kuasa dari 16-12-1983.
Fasal (8) perenggan (a): Perkataan "Yang di-Pertuan Agong disebut dalam Fasal (1) dan Fasal (2B)" digantikan dengan perkataan "Perdana Menteri yang disebut dalam Fasal (1), (2) dan (2B)" oleh Akta A566, seksyen 20, berkuat kuasa dari 16-12-1983.
Fasal (8) perenggan (b)(i): Perkataan "sama ada atau tidak berbangkit di bawah Fasal (2)" dimasukkan selepas perkataan "dinyatakan dalam Fasal (1)" oleh Akta A566, seksyen 20, berkuat kuasa dari 16-12-1983.
Catatan:
Perkara 150 dipinda lagi oleh Akta A584 yang mengekalkan peruntukan-peruntukan asal seperti yang terdapat sebelum pindaan yang dibuat oeh Akta A566 seperti yang tedapat kini.
Per. 150(5):
Fasal yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 39(2), berkuat kuasa dari 16-9-1963. Perkataan "atau dalam Perlembagaan Negeri Sarawak" dimasukkan oleh Akta 68/1966, seksyen 3, selepas perkataan "Perlembagaan ini" yang terdapat mula-mula itu, berkuat kuasa dari 20-9-1966, dan akan berhenti berkuat kuasa enam bulan selepas tarikh terhentinya kuat kuasa Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 14-9-1966 dalam P.U. 339A/1966. Fasal yang asal berbunyi seperti yang berikut:
"(5) Semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa, Parlimen boleh, walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disenaraikan dalm Senarai Negeri (selain apa-apa perkara mengenai hukum Syarak atau adat orang Melayu), melanjutkan tempoh Parlimen atau Badan Perundangan Negeri, menggantung mana-mana pilihan raya, dan membuat apa-apa peruntukan yang berbangkit atau bersampingan dengan mana-mana peruntukan yang dibuat menurut Fasal ini.".
Per. 150(6):
Fasal yang ada sekarang dimasukkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 39(2), berkuat kuasa dari 16-9-1963. Perkataan "atau bagi Perlembagaan Negeri Sarawak" dimasukkan oleh Akta 68/1966, seksyen 3, selepas perkataan "Perlembagaan ini" di hujungnya, berkuat kuasa dari 20-9-1966, dan akan terhenti berkuat kuasa enam bulan selepas tarikh terhentinya kuat kuasa Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 14-9-1966 dalam P.U. 339A/1966. Fasal yang asal berbunyi seperti yang berikut:
"(6) Tiada peruntukan mana-mana undang-undang atau ordinan yang dibuat atau yang dimasyhurkan menurut Perkara ini boleh menjadi tidak sah atas alasan apa-apa ketidakselarasan dengan peruntukan-peruntukan Bahagian II, dan Perkara 79 tidaklah terpakai bagi mana-mana Rang Undang-Undang untuk sesuatu undang-undang yang sedemikian atau bagi apa-apa pindaan kepada sesuatu Rang Undang-Undang yang sedemikian.".
Per. 150(6A):
1. Ditambahkan oleh Akta 26/1963, subseksyen 39(2), berkuat kuasa dari 16-9-1963.
2. Perkataan "sesuatu Negeri Borneo" digantikan dengan "Negeri Sabah atau Sarawak" oleh Akta A514, seksyen 19, berkuat kuasa dari 27-8-1976.
Per. 150(8) & (9):
Ditambahkan oleh Akta A514, seksyen 15, berkuat kuasa dari 15-5-1981.
No comments:
Post a Comment