Thursday 29 March 2018

YAB PM BENTANG LAPORAN KAJIAN SEMULA PERSEMPADANAN PILIHANRAYA, 2018






PETIKAN DARI BERITA HARIAN
KLIK DI SINI
Tuan Yang Dipertua,  Saya mohon mencadangkan - "Bahawa Dewan ini membuat ketetapan di bawah Seksyen 10, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan bahawa deraf bagi Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri-Negeri Tanah Melayu) 2018, (Kertas Statut ST.28 Tahun 2018), yang telah dibentangkan dalam Dewan ini pada 22 Mac 2018, bersama dengan laporan Suruhanjaya Pilihan Raya bertarikh 6 Mac 2018, tentang Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Di Dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu Kali Keenam Tahun 2018, (Kertas Statut ST.27 Tahun 2018), dan yang akan dibuat di bawah Seksyen 12, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan untuk menguatkuasakan syor-syor yang terkandung dalam laporan tersebut, adalah diluluskan."
Tuan Yang Dipertua, sesungguhnya, laporan yang akan dibentangkan pada hari ini, adalah sebuah syor kajian semula persempadanan, yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya ke atas Negeri-Negeri Tanah Melayu, yang merangkumi Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, yang mempunyai keluasan kira-kira 132,000 kilometer persegi.
Umum mengetahui bahawa, setiap negeri di dalam Malaysia adalah unik dan berbeza antara satu sama lain serta mempunyai keistimewaan yang tersendiri, dari segi topografi mahupun taburan penduduk.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan penduduk Negeri-Negeri Tanah Melayu pada tahun 2015 adalah seramai 24.76 juta orang dan terdiri daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina serta India.
Untuk pengetahuan Ahli-Ahli Yang Berhormat, kali terakhir urusan kajian semula persempadanan diluluskan adalah pada tahun 2003, yang mana bahagian-bahagian pilihanraya yang diluluskan pada masa itu, digunakan dalam tiga siri Pilihan Raya Umum iaitu PRU Ke-11 pada tahun 2004, PRU Ke-12 pada tahun 2008 dan PRU Ke-13 pada tahun 2013.
Memandangkan lat tempoh 8 tahun telah pun berlalu, maka SPR melaksanakan urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu pada kali ini, selaras dengan peruntukan Fasal (2) Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, suatu Notis Persempadanan bagi memulakan urusan kajian semula persempadanan pada kali ini, dikeluarkan oleh SPR pada 15 September 2016, selaras dengan Seksyen 4, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan dan SPR perlu menyiapkan kajian terbabit dalam tempoh yang tidak melebihi dua tahun dari tarikh notis terbabit.
 Tuan Yang Dipertua, sebetulnya, SPR sudah pun menyiapkan Laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan Dan Negeri Bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu Kali Keenam Tahun 2018, berdasarkan prinsip dan tatacara yang terkandung di dalam Bahagian I dan Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.
Malah, Laporan Kajian Semula Persempadanan sudah diserahkan kepada saya pada hari Jumaat, 9 Mac 2018, selaras dengan peruntukan Seksyen 8, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan dan laporan itu, yang mengandungi lima bab juga sudah diagihkan kepada semua Ahli di dalam Dewan yang mulia ini sebagai Kertas Statut No. ST.27 Tahun 2018.
Bagi Bab 1, dalam laporan terbabit menerangkan mengenai sejarah urusan kajian semula persempadanan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu yang terdahulu dan latar belakang Kajian Semula Persempadanan Kali Keenam Tahun 2018.
Tetapi, kajian semula persempadanan ini, tidak membabitkan sebarang pertambahan bilangan bahagian pilihan raya, sebaliknya, ia hanya membabitkan pindaan nama dan sempadan bahagian-bahagian pilihan raya.
Seterusnya, dalam Bab 2 pula, laporan terbabit menerangkan mengenai peruntukan undang-undang bagi menjalankan urusan kajian semula persempadanan seperti mana di bawah Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, bab ini turut menerangkan mekanisme pelaksanaan urusan kajian semula persempadanan, daftar pemilih yang diguna pakai, dan kriteria-kriteria pemilihan nama bagi setiap bahagian pilihan raya.
Tambahan, urusan kajian semula persempadanan pada kali ini, sudah dilaksanakan dengan mengguna pakai daftar pemilih yang diperakui dan diwartakan pada 13 Mei 2016 [P.U.(B) 217/2016] dan 6 September 2016 [P.U.(B) 399/2016], di mana jumlah pemilih berdaftar bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu adalah seramai 11,379,352 orang.
Jika dibandingkan dengan urusan kajian semula persempadanan yang terakhir sudah dilaksanakan pada tahun 2003, ia mengguna pakai daftar pemilih yang telah disahkan pada 27 Disember 2001 iaitu seramai 8,347,107 orang pemilih. Ini bermakna, bilangan pemilih berdaftar bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu meningkat sebanyak 36 peratus atau kira-kira 3 juta orang.
Tuan Yang Dipertua, merujuk kepada Bab 3 di dalam laporan ini, yang menyentuh mengenai latar belakang, keadaan geografi dan demografi penduduk serta bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada di Negeri-Negeri Tanah Melayu pada masa ini.
Manakala, bagi Bab 4 dalam laporan ini pula, mengandungi maklumat-maklumat mengenai notis persempadanan, pameran syor, representasi bantahan dan siasatan tempatan bagi kali pertama serta kali kedua yang sudah dilaksanakan oleh SPR, seperti mana yang diperuntukkan di dalam Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.
Seperti mana yang sudah dimaklumkan, urusan kajian semula persempadanan pada kali ini, sudah dimulakan pada 15 September 2016 dan pameran syor-syor serta Rang Pelan Persempadanan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu, sudah dipamerkan selama satu bulan bermula pada 15 September 2016, di 262 tempat pemeriksaan, seperti yang dinyatakan di dalam Notis Persempadanan serta sudah disiarkan di dalam akhbar-akhbar tempatan.
Notis yang diwarta dan disiarkan di dalam akhbar-akhbar terbabit mengandungi:
 i) Maklumat mengenai pewujudan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri yang baharu;
ii) Pindaan nama Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri yang sedia ada;
iii) Bilangan pemilih bagi setiap Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri; dan
iv) Senarai tempat pameran syor Kajian Semula Persempadanan bagi setiap Negeri-Negeri Tanah Melayu.
Selain itu, sebagai satu langkah proaktif, notis, syor dan rang pelan terbabit juga turut dimuat naik ke laman web rasmi SPR, bagi memudahkan maklumat-maklumat terbabit diperoleh atau diakses oleh orang ramai.
Selaras dengan pameran pertama yang dijalankan, SPR menerima sebanyak 804 representasi dan daripada jumlah ini, sebanyak 430 representasi memenuhi peruntukan Seksyen 5, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan untuk diadakan siasatan tempatan kali pertama.
Tuan Yang Dipertua, berdasarkan maklum balas yang diterima sepanjang siasatan tempatan kali pertama, syor kajian semula persempadanan terbabit sudah disemak semula dan diwartakan kali kedua pada 8 Mac 2017 bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu (kecuali Negeri Selangor), manakala pewartaan Negeri Selangor pula adalah pada 15 Januari 2018. Notis syor-syor yang dicadangkan bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri di dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu sudah pun disiarkan di dalam akhbar-akhbar tempatan.
Pameran kali kedua syor-syor yang dicadangkan dan rang pelan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu (kecuali Negeri Selangor) sudah dijalankan mulai 8 Mac hingga 7 April 2017 di 153 tempat pemeriksaan. Manakala, pameran kali kedua bagi Negeri Selangor pula diadakan mulai 15 Januari hingga 14 Februari 2018 di 19 tempat pemeriksaan.
Sebanyak 881 representasi diterima sepanjang tempoh pameran kali kedua dan 170 daripadanya memenuhi syarat-syarat seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 5, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan dan diterima untuk diadakan siasatan tempatan.
Keseluruhannya, bagi kedua-dua pameran yang diadakan, SPR menerima sebanyak 1,685 representasi dan 600 daripadanya diadakan siasatan tempatan.  Selain itu, SPR turut menerima sebanyak 546 representasi yang menyatakan sokongan ke atas syor-syor SPR.
 Tuan Yang Dipertua, oleh yang demikian, hasil yang diperoleh daripada kedua-dua siasatan tempatan yang diadakan, SPR memutuskan di bawah Seksyen 8, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan dan perincian mengenai syor-syor terbabit dimuatkan di dalam Bab 5 buku laporan ini.
Dalam hal ini, SPR mengesyorkan bahawa, tiada perubahan ke atas bilangan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu.
Walau bagaimanapun, SPR mengesyorkan pindaan nama ke atas 12 Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan iaitu satu di negeri Kedah, dua di negeri Perak, lima di negeri Selangor, satu di Negeri Sembilan, satu di negeri Melaka dan dua di negeri Johor.
Bagi Bahagian Pilihan Raya Negeri pula, SPR mengesyorkan pindaan nama ke atas 28 Bahagian Pilihan Raya iaitu satu di negeri Kedah, dua di negeri Kelantan, satu di negeri Terengganu, dua di negeri Perak, sembilan di negeri Selangor, dua di Negeri Sembilan, tiga di negeri Melaka dan lapan di negeri Johor.
Di dalam laporan ini juga, turut diperincikan maklumat-maklumat mengenai luas kawasan Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri serta bilangan pemilih berdaftar bagi setiap daerah mengundi, Bahagian Pilihan Raya Negeri dan Bahagian Pilihan Raya Persekutuan yang disyorkan.
Tuan Yang Dipertua, satu perkara yang ingin ditegaskan di sini adalah, pembahagian bilangan pemilih berdaftar yang sama rata bagi setiap Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri di dalam setiap Negeri-Negeri Tanah Melayu adalah sukar untuk dilaksanakan kerana, terdapatnya kawasan-kawasan luar bandar yang keadaan topografi serta demografinya berbeza antara satu sama lain.
Ini secara tidak langsung, mewujudkan kekangan-kekangan dari segi jalan-jalan perhubungan dan pengangkutan. Hal demikian menyebabkan konsentrasi penduduk di kawasan bandar adalah jauh lebih tinggi, berbanding penduduk di kawasan luar bandar.
Sungguhpun demikian, saya difahamkan, SPR sedaya upaya berusaha untuk meringankan beban wakil-wakil rakyat, khususnya di kawasan-kawasan di mana kemudahan-kemudahan perhubungan dan pengangkutan yang terhad.
Dengan demikian, adalah diharapkan supaya syor-syor terbabit dapat membantu wakil-wakil rakyat untuk menyampaikan perkhidmatan dengan lebih cekap dan berkesan kepada semua pemilih di dalam bahagian pilihan raya masing-masing.
Ini memberi kelebihan kepada wakil-wakil rakyat untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan masing-masing, sekali gus menafikan persepsi dan dakwaan yang tidak benar lagi tidak berasas bahawa, syor-syor ini hanya menguntungkan sesetengah pihak sahaja.
Berhubung ini juga, sebagai pemberitahuan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, saya dimaklumkan bahawa, terdapat syor-syor yang dicadangkan oleh SPR tidak dipersetujui oleh beberapa pihak, termasuk daripada pihak Kerajaan sendiri.
Sungguhpun begitu, Kerajaan tidak mengganggu mahupun mempengaruhi SPR dalam melaksanakan tugas-tugas mereka, malah Kerajaan juga sentiasa menghormati keputusan yang dibuat oleh SPR, untuk kebaikan semua, demi kepentingan rakyat dan negara.
Tuan Yang Dipertua, berdasarkan Seksyen 9, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan, laporan ini hendaklah dibentangkan bersama dengan deraf suatu Perintah yang hendak dibuat di bawah Seksyen 12, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan untuk menguatkuasakan dengan atau tanpa ubah suaian syor-syor yang terkandung di dalam laporan itu. Draf Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri-Negeri Tanah Melayu) 2018 ada di hadapan Dewan yang mulia ini, sebagai Kertas Statut No. ST.28 Tahun 2018.
Di sudut ini, Kerajaan sudah mengkaji dengan teliti syor-syor dalam laporan terbabit dan tidak mencadangkan apa-apa perubahan dibuat kerana, Kajian Semula Persempadanan ini sudah dilaksanakan sepenuhnya, berlandaskan peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tuan Yang Dipertua, secara kesimpulannya, pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan sekalung tahniah kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli SPR, Setiausaha serta seluruh pegawai dan kakitangan SPR serta agensi-agensi lain yang terbabit secara langsung mahupun tidak langsung, khususnya Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perangkaan Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Ketua-ketua Jabatan/Agensi yang berkaitan di semua negeri dan semua pihak yang menjalankan tanggungjawab serta amanah dengan penuh dedikasi, dalam menyiapkan laporan ini, untuk dibentangkan bagi kelulusan Dewan yang mulia ini.
Tuan Yang Dipertua, saya mohon mencadangkan



No comments:

Post a Comment