Tuesday, 9 July 2013

UNTUK MENGENALI DIRI KITA SEBENARNYA ADALAH DI BULAN RAMADHAN INI



Dipetik dari : KLIK DI SINI

Assalamualaikum, Salam Ramadhan Al-Mubarak kepada semua pengunjung blog yang masih setia mengunjugi blog ana ini. Seperti yang kita sedia maklum Ramadhan berkunjung setiap kali kitaran tahun berganti, bulan yang sememangnya dinanti-nantikan oleh orang-orang yang beriman, dimana Ramadhan merupakan sebuah hadiah dari yang Maha Pencipta kepada hamba-hambanya yang bertaqwa. Rasulullah S.A.W bersabda:-
Apabila tiba bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu.

Membicarakan hadith ini, timbul rasa hairan dalam diri ana. Kita dikhabarkan oleh nabi bahawa syaitan-syaitan dibelenggu sepanjang Ramadhan, namun masih ramai yang berkelakuan seperti perangai syaitan. Kenapa agaknya ya?


Klik Untuk Paparan Besar
Bagaimanakah Kefahaman Kita tentang Hal Ini?


Baik, kita umpamakan syaitan itu seperti anjing yang tertambat. Apakah anjing yang ditambat dan diikat tidak mampu mengigit? Tentu sahaja bagi mereka yang menjauhi anjing tersebut, akan terselamat dari serangan  dan gigitan. Namun bagaimana pula dengan yang menghampiri anjing berkenaan? Duduk bersebelahan, mengacah-acah anjing yang geram tertambat? Tidak mustahil manusia dungu ini terkena gigitan, malah gigitan itu mungkin serius kerana anjing sedang kemarahan.

Apabila Ramadhan mengikat syaitan dari bebas berkeliaran, ia hanyalah proses mengurangkan potensi syaitan menghasut manusia berbuat jahat. Seperti sabda Nabi S.A.W pada sepotong hadith al-Bukhari dan Muslim:-
Sesungguhnya Syaitan itu bergerak di dalam diri anak Adam melalui saluran darah. Maka sempitkanlah perjalanannya dengan berlapar.

Ramadhan Menguragkan Potensi Syaitan

Akan tetapi bagi yang menghabiskan masa Ramadhanya di tempat syaitan tertambat, di lokasi lagho dan maksiat, tempat jin bertandang, maka bagaimana? Ketika syaitan tertambat, manusia pula yang mencari-cari syaitan dan mengisi Ramadhan dengan perkara sia-sia kegemaran syaitan? Tidakkah mereka ini menyerah peha untuk dibaham dan menjadi mangsa?

Perlu diketahui bahawa punca kejahatan manusia itu ada luar dan dalamnya. Jika anasir luarannya itu adalah syaitan, sumber paling merbahaya pula adalah hawa nafsunya sendiri. Firman Allah :-

Apakah kamu tidak melihat orang yang bertuhankan hawa nafsunya sendiri?
Al-jaatsiyyah : 23

Siapa Lagi Yang Dapat Dipersalahkan?
Maka selepas pintu Rahmat dibuka , pintu Neraka ditutup dan syaitan diikat, sudah cukup lapangkah jalan kebaikan, dan sudah cukup susahkah jalan kejahatan? Selepas segala kemudahan diberi untuk manusia  berubah kepada kebaikan, sedangkan dirinya masih tetap melakukan kejahatan.

Kejahatan di bulan Ramadhan adalah kejahatan tulen pilihan manusia. Hampir tiada campur tangan  syaitan pada kedurhakaan dirinya. Kita yang memilih untuk jahat lagi keparat. Sebagaimana puasa menjadi ibadah eksklusif antara hamba dan Allah, Tuhannya, maka kejahatan di bulan Ramadhan juga akan dibalas secara ekslusif oleh Allah.

Sejenak Refleksi Diri

Soalnya dimanakah syaitan ditambat? Soalnya dimanakah kita bakal menghabiskan masa di bulan Ramadhan ini? Apakah di tempat jin dan syiatan bertandang? Atau di tempat turunnya Rahmat Allah pada zikir dan Munajat? Ayuhkan kita sama-sama fikirkan-fikirkan.

Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment