Dalam artikel ini saya akan cuba untuk menerangkan dalam bahasa yang mudah difahami oleh sebahagian besar pembaca Facebook mengenai topik geografi iaitu ribut taufan tropika.
Jika anda lebih mahir dalam geografi fizikal tentu lebih mudah untuk memahami artikel ini.
Topik ribut taufan tropika menjadi hangat apabila taufan Rai yang membadai Filipina baru-baru ini dikaitkan dengan fenomena banjir besar di pandai barat Semenanjung khususnya di negeri Selangor.
Pertama sekali kita nak fahamkan apa itu tropika?
Tropika ialah kawasan di atas permukaan bumi yang terletak di antara garisan Sartan (23.5 darjah utara) dengan garisan Jadi (23.5 darjah selatan). Ia selalunya disebut sebagai kawasan Khatulistiwa yang panas dan sebahagian kawasan yang mempuyai iklim sederhana. Jadi ribut taufan tropika hanya akan berlaku di kawasan ini sahaja.
Dalam Bahasa Inggeris, ribut taufan tropika diberikan dalam tiga nama berbeza mengikut di mana kejadian taufan itu berlaku.
Taufan yang berlaku di utara Lautan Atlantik, Kepulauan Caribbean, Teluk Mexico dan timur laut Lautan Pasifik dinamakan HURRICANE.
Yang berlaku di barat laut Lautan Pasifik dan utara Lautan Hindi disebut sebagai TYPHOON.
Manakala yang berlaku di hemisfera selatan di antara Australia dan Afrika timur dinamakan CYCLONE.
Sebab itu jika kita mendengar berita dari luar negara dalam Bahasa Inggeris akan menyebut hurricane, typhoon dan cyclone. Sebenarnya ia adalah merujuk kepada taufan tropika, cuma ia berlaku di tempat yang berlainan sahaja.
Dalam artikel ini kita hanya akan menumpukan ribut taufan (atau typhoon) yang berlaku di barat laut Lautan Pasifik yang hampir dengan Filipina sahaja. Kerana taufan tropika inilah yang sering membadai Filipina, Vietnam, Hong Kong, China dan Taiwan.
Bagainama terjadinya taufan tropika?
Kawasan laut di tropika adalah kawasan yang paling banyak menerima cahaya matahari maka permukaan laut menjadi panas.
Apabila permukaan air lautan yang luas meningkat kepanasannya sehingga 26 darjah Celcius maka berlaku pemelowapan dengan kelembapan yang tinggi (bermaksud kandungan wap air dalam udara lebih banyak).
Wap air yang naik ke udara menyebabkan berlakunya tekanan rendah (yakni udara semakin sedikit) dan angin sekitarnya akan menyerbu masuk untuk mengisi kekosongan itu. Semakin lama ia menjadi besar dan terbentuk seperti satu silinder menegak (atau column).
Silinder menegak atau column inilah akhirnya menjadi “mata taufan @ eye” iaitu satu “lubang” di tengah-tengah taufan. Apabila mata taufan “semakin mengecil dan lemah” tetapi putaran taufan pula semakin laju.
Bagaimana perubahan satu selinder tegak @ column membentuk ribut taufan?
Apabila semakin banyak wap air yang naik ke udara maka ketebalan “dinding silinder” semakin membesar dan ia dinamakan “eyewall” atau dinding mata taufan. Daripada satu eyewall yang di tengah-tengah, ia bertambah beberapa “eyewall” di luarnya menyebabkan coverage radius ribut taufan semakin besar.
Wap air yang panas terus naik ke atas tetapi setelah sampai ke puncak ia menjadi sejuk, berat dan mampat akhirnya turun sebagai hujan yang lebat. Oleh kerana pusaran angin yang kuat maka hujan akan disertakan dengan angin. Itulah yang selalu kita rasai sebagai “ribut”.
Mengapa taufan berputar ikut arah jam atau lawan arah jam?
Bumi berputar dari barat ke timur dengan paksi yang condong 23.5 darjah dan menyebabkan biasan dari bumi ini maka angin yang berada di atmosfera membentuk lencungan mengikut latitud (garisan lintang berapa darjah dari KHatulistiwa sama ada ke utara atau selatan) yang berbeza.
Sebenarnya ia telah dijelaskan dalam “Coriolis effect” di mana putaran taufan yang berada di hemisfera utara akan membentuk putaran LAWAN ARAH JAM. Manakala di hemisfera selatan pula putaran IKUT ARAH JAM.
Apa kaitan antara taufan Rai dengan banjir di Semenanjung?
Ketika taufan Rai meninggalkan Filipina dan berada antara Filipina dan Vietnam di Laut China Selatan, ia berputar LAWAN ARAH JAM di mana ekor taufan membuat libasan terhadap angin timur laut yang sedang bertiup dari pendalaman China dan Siberia.
Libasan ekor taufan ini menambahkan kekuatan angin timur laut dan menyebabkan ia terhimpit ke utara dan masuk ke Teluk Siam. Sebab itulah angin timur laut TIDAK membadai pantai timur Semenanjung seperti lazimnya.
Apa yang terjadi kepada angin timur laut yang masuk ke Teluk Siam?
Angin yang masuk ke Teluk Siam membelok membuat pusingan U apabila bertemu dengan angin timur laut dari DARATAN China, Indochina dan Thailand yang lebih laju.
Disebabkan kelajuan angin yang berbeza maka terbentuk satu tekanan rendah dan terjadi pusaran di Selat Melaka di luar perairan negeri Perak. Sesungguhnya ia adalah satu kejadian taufan yang membadai negeri-negeri Perak dan Selangor khususnya.
Sebab itulah berlaku banjir yang amat dahsyat di Selangor. Menurut Bomba Selangor, kejadian banjir ini adalah yang terburuk sejak 7 tahun lagi.
Setelah diteliti memang benar di bulan November, 2013 iaitu 8 tahun lalu (mungkin kesilapan anggaran pegawai Bomba tersebut menyebut 7 tahun) telah berlaku kejadian ribut taufan Haiyan di Filipina. Taufan ini adalah yang terbesar pernah direkodkan di zaman moden.
Kemungkinan besar ribut taufan Haiyan membuat formasi yang sama seperti taufan Rai yang mengakibatkan banjir besar di Selangor.
TERIMA KASIH
MEGAT HISEMUDIN MEGAT KASIM