Pages

Wednesday, 10 April 2013

MENJUAL SJK (TAMIL) ?. KENAPA BOLEH BERLAKU .... DI MANA KESEDARANNYA?




TERPANGGIL AKU MEMAPARKAN SEMULA UNTUK BACAAN UMUM KHASNYA UNTUK MASYARAKAT INDIA BERKENAAN DENGAN SJK(T) ..... KENAPA BERLAKU?


Menjual SJKT (Bahagian 1)

MARCH 11, 2013
Uthaya Sankar SB berkarya dalam Bahasa Malaysia. Beliau adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya. Selain menulis, membaca dan bercakap, beliau juga suka menonton filem.
11 MAC — Sewaktu saya menemui Puan Parameswari untuk berbual-bual dengannya, saya tidak menyangka bahawa pelbagai rahsia hitam akan terbongkar.
Tujuan asal saya bertemu dengan wanita berumur 55 tahun itu di Siru Kambam adalah untuk mendapatkan maklumat mengenai Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Siru Kambam. Maklumat berkenaan bagi menyiapkan suatu tugasan di kolej.
“SJKT Ladang Siru Kambam ini hampir pupus pada tahun 1996,” kata wanita itu yang berpengalaman mengajar di beberapa sekolah Tamil sejak tahun 1985.
Tentu sahaja saya sedikit terkejut dan amat berminat untuk mengetahui apa yang dimaksudkan oleh guru berkenaan. Walaupun tugasan yang diberikan oleh pensyarah hanya membawa 10 markah, saya berminat untuk menimba lebih daripada sekadar markah itu.
“Boleh puan tolong huraikan lebih lanjut?” saya bertanya sambil bersiap-sedia mencatatkan maklumat yang bakal dikongsikannya.
“Kisah ini bermula pada tahun 1996,” Parameswari memulakan cerita sambil tangannya menbelek-belek fail tebal berisi pelbagai maklumat berkaitan SJKT dan Bahasa Tamil sejak lebih dua puluh tahun dahulu.
Pertemuan untuk mendapatkan maklumat asas bertukar menjadi sesi pendedahan yang menggemparkan.
Menurut cerita wanita yang berasal dari Ipoh itu, pelbagai usaha licik diatur secara penuh bijak dan strategik oleh beberapa pihak dalam usaha memastikan SJKT Ladang Siru Kambam ditutup.

“Mengapa? Bukankah macam-macam perkara sedang dilakukan oleh parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak sekolah sendiri untuk memastikan SJKT terus kekal di negara ini?” Demikian saya bertanya apabila menyedari wanita itu terdiam dan wajahnya sayu.
“Demikianlah andaian, harapan dan pemahaman masyarakat umum. Akan tetapi, apa yang berlaku dalam realiti adalah sebaliknya. Adik jangan terkejut dengan pendedahan yang bakal saya lakukan. Tapi saya bukan membuat tuduhan atau fitnah. Semua kenyataan saya adalah berdasarkan fakta dan dokumen bertulis,” beliau menegaskan seketika kemudian selepas mengesat air mata.
Kisah yang disampaikan oleh guru itu sedikit memeranjatkan dan mungkin sukar dipercayai. Bagaimanapun, beliau menunjukkan pelbagai dokumen dan bukti-bukti berupa surat-surat bagi mengesahkan ceritanya.
Pada tahun 1996, terdapat hanya 36 murid di SJKT Ladang Siru Kambam, Taiping. Jumlah murid yang sedikit itu cuba dijadikan alasan untuk menutup sekolah berkenaan. 
Beberapa ibu bapa yang prihatin cuba mengadu kepada Guru Besar tetapi individu terbabit pula tidak menunjukkan minat bagi memastikan sekolah berkenaan terus wujud.
“Tak perlulah kita semua risau. Sekolah Tamil memang tak ada masa depan di negara ini. Kalau sekolah ini ditutup dan anda semua masih mahu menghantar anak-anak ke sekolah Tamil, hantar saja ke SJKT lain. Janganlah cuba melawan arus pembangunan.”
Menurut Parameswari, beliau turut terkejut apabila mendengar pandangan yang dikemukakan Guru Besar dalam pertemuan bersama-sama sekumpulan ibu bapa terbabit. Bayangkan apabila seorang Guru Besar SJKT sendiri tidak menunjukkan minat dan kesungguhan mempertahankan sekolah Tamil.
“Saya cuba juga berbincang dengan guru-guru lain. Akan tetapi, mereka turut bersikap pasif. Bagi mereka, tidak menjadi masalah jika SJKT Ladang Siru Kambam ditutup kerana mereka akan dipindahkan ke sekolah lain,” Parameswari bercerita sambil saya berusaha membuat catatan.
Tugasan asal saya adalah untuk menulis esei mengenai sejarah sebuah sekolah. Akan tetapi, nampak gayanya, maklumat yang saya peroleh adalah lebih daripada sekadar maklumat biasa. Tambahan, wanita yang saya wawancara mempunyai puluhan fail dan ratusan buku catatan berisi maklumat lengkap berkaitan Bahasa Tamil dan 524 SJKT di seluruh negara.
“Tidak adakah sesiapa yang menghubungi parti politik?” Saya bertanya kerana sering membaca di akhbar Tamil mengenai usaha parti-parti politik tertentu yang khabarnya memperjuangkan Bahasa Tamil, budaya Tamil, sekolah Tamil dan segala yang “Tamil”.
Parameswari ketawa lepas sebaik mendengar soalan saya. Kemudian segera membelek-belek sebuah fail dan menunjukkan beberapa foto serta keratan akhbar dan salinan memo bertulis tangan.
Agak memeranjatkan bahawa Pertubuhan Politik India (PPI) cawangan Siru Kambam yang kononnya memperjuangkan nasib sekolah Tamil — dan segala yang “Tamil” — turut terlibat dalam konspirasi licik ini!
“Adik jangan lupa bahawa SJKT Ladang Siru Kambam terletak di lokasi strategik dan nilai tanah itu naik secara mendadak sejak pertengahan 1990-an. Maka, jika sekolah itu berjaya ditutup dan tanah berkenaan dijual, banyak pihak yang akan untung,” katanya sambil jari menjentik senarai nama yang dimaksudkan.
Akan tetapi, setahu saya, SJKT Ladang Siru Kambam terletak di bawah tabung amanah Kuil Sivaperuman. Masakan PPI boleh masuk campur dan jawatankuasa kuil yang merupakan kelompok “Tamil/Hindu tegar” akan membiarkan sahaja.
“Lihat foto ini. Adik mungkin tidak kenal wanita yang berdiri penuh mesra dengan Presiden PPI. Dia bukan isteri beliau tetapi kini memiliki harta yang cukup banyak di beberapa lokasi terpilih di Taiping. Dan ini pula pengerusi jawatankuasa kuil yang diamanahkan menjaga SJKT Ladang Siru Kambam.”
Saya meneliti foto yang ditunjukkan. Saya lihat juga beberapa dokumen lain yang ditunjukkan sebagai bukti wang bertukar tangan antara pihak terbabit.
Ternyata segala bahan bukti yang berada di depan saya adalah lebih daripada apa yang mampu saya cerna. Agak sukar untuk saya mempercayai bahawa pelbagai pihak sanggup melakukan apa sahaja — termasuk menawarkan wang dan habuan seks — semata-mata untuk memastikan sebuah sekolah Tamil ditutup.
“Puan tidak mengemukakan segala bahan bukti ini kepada sesiapa?” saya bertanya dengan perasaan yang berbaur antara marah, sedih, kecewa dan hairan.
Parameswari memandang saya dengan mata yang tidak berkelip. Mungkin sedang mengenangkan pengalamannya menangani dan memperjuangkan isu ini sejak 1996.
“Terlalu ramai pihak yang terlibat. Masing-masing ada kepentingan dan cuba menutup kes. Termasuk beberapa pensyarah di kolej kamu yang kononnya pejuang Bahasa Tamil. Tetapi merekalah yang mengetuai gerakan memansuhkan SJKT di seluruh negara.”
Serta-merta saya berhenti menulis. Pensyarah di Kolej Siru Kambam turut terlibat?
“Siapa?”
Parameswari menunjukkan foto dua pensyarah yang amat saya kenali dan kagumi. – Bersambung

RUJUKAN ASAL : KLIK DI SINI





Menjual SJKT (Bahagian 2)

18 MAC — Mata saya terbeliak memandang foto dua pensyarah Kolej Siru Kambam yang ditunjukkan oleh Puan Parameswari. Sesungguhnya saya amat mengenali mereka bedua.
“Mereka?” Saya bertanya sambil memandang wanita berumur 55 tahun itu dengan kening berkerut.
“Adik tidak percaya?”
Lidah saya kelu. Saya datang bertemu guru Bahasa Tamil ini untuk mendapatkan maklumat asas mengenai Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Siru Kambam bagi tujuan tugasan kolej. Beliau pula memberikan pelbagai maklumat berserta bukti yang menggemparkan serta sukar dipercayai.
“Mereka berdua adalah pensyarah saya,” saya berkata akhirnya.
Parameswari tidak pula terkejut mendengar jawapan saya. Beliau hanya tersenyum kecil.
“Ya, saya sudah mengagak.”
“Maksud puan?”
Parameswari menyimpan salinan pelbagai dokumen dan bahan bukti.
Parameswari menyimpan salinan pelbagai dokumen dan bahan bukti.
“Encik Krishna dan Encik Kumara adalah pensyarah kolej kamu yang terlibat secara langsung dalam urusan membabitkan sekolah-sekolah Tamil. Mereka ada kuasa, suara serta pengaruh yang kuat pada peringkat atasan.”

Saya semakin keliru. Kedua-kedua pensyarah itulah yang menyuruh saya mengumpul maklumat mengenai SJKT Siru Kambam bagi tujuan tugasan. Mengapa pula mereka berbuat begitu jika mereka terlibat sama dalam konspirasi seperti dikatakan oleh wanita ini?
“Saya percaya bahawa adik hanya mengenali mereka berdua sebagai pensyarah. Akan tetapi, saya mengenali mereka sejak mereka masih menjadi mahasiswa universiti.”
Sambil berkata begitu, Parameswari meletakkan dua fail kertas yang agak tebal di atas meja. Nama “Kumara” dan “Krishna” tertera pada kulit hadapan fail. Saya membelek-belek beberapa halaman kandungan kedua-dua fail berkenaan.
Saya tidak pasti dari mana dan bagaimana Parameswari berjaya memperoleh pelbagai dokumen, surat dan memo sulit serta peribadi antara kedua-dua pensyarah berkenaan dengan sebuah organisasi yang secara terang-terangan sedang berusaha menghapuskan sekolah-sekolah Tamil di Malaysia.
“Saya pernah mengemukakan bahan-bahan bukti ini berserta tulisan berupa komentar ke beberapa akhbar dan majalah Tamil sejak tahun 1996. Akan tetapi, kesemuanya dibakul sampahkan. Mungkin kerana tulisan saya mendedahkan kepincangan dan konspirasi melibatkan pelbagai pihak. Mujurlah saya masih simpan salinan setiap tulisan itu,” guru itu menjelaskan sementara saya meneliti kandungan fail.
Segala maklumat, dokumen, keratan akhbar dan foto yang tersaji di hadapan mata membuatkan saya kaku seketika. Minda saya berusaha mencerna sebanyak mungkin fakta yang sukar dipercayai. Konspirasi terancang oleh tokoh kaum India sendiri untuk menghapuskan sekolah Tamil?
“Tapi bukankah Encik Kumara dan Encik Krishna dikenali sebagai tokoh yang sangat mencintai budaya India dan bahasa Tamil? Masakan mereka tergamak berbuat seperti apa yang puan katakan … seperti apa yang puan tunjukkan menerusi bukti-bukti di dalam fail ini?”
Wanita itu tidak segera menjawab. Wajahnya sayu seketika. Bagaikan ada sesuatu yang mahu diceritakan tetapi tidak mampu diluahkan menerusi kata-kata.
“Seks, wang, kedudukan dan jawatan adalah antara perkara yang mampu melemahkan manusia yang kurang keimanan dan integriti. Sewaktu Kumara dan Krishna menjadi mahasiswa, mereka menghadapi masalah kewangan. Pada waktu itulah mereka dihubungi wakil sebuah organisasi yang menawarkan untuk menanggung sepenuhnya kos pengajian mereka hingga ke peringkat kedoktoran.”
Mulut saya terlopong tanpa saya sedari. Kedua-dua pensyarah berkenaan sedang dalam proses menyiapkan tesis kedoktoran. Maknanya, mereka masih ditaja pertubuhan tersebut?
“Saya percaya bahawa mereka menghantar adik bertemu saya dengan tujuan mahu mengetahui berapa banyak maklumat yang saya tahu dan masih simpan mengenai operasi mereka. Mereka tidak berani berdepan dengan saya kerana takut pada bahan-bahan bukti yang ada di tangan saya,” katanya.
Kalau begitu, mengapa guru ini sedia mendedahkan begitu banyak maklumat kepada saya? 
“Saya percaya pada kuasa Tuhan. Walaupun mungkin benar bahawa Kumara dan Krishna menghantar adik untuk bertemu saya bagi mengorek rahsia, saya sedar bahawa adik bukan sebahagian daripada kumpulan mereka. Saya dapat merasakan kemurnian dalam jiwa dan roh adik. Sebab itulah saya tidak keberatan untuk mendedahkan begitu banyak perkara,” wanita itu menjawab bagaikan mampu membaca apa yang bermain dalam fikiran saya.
Saya segera menutup kedua-dua fail. Agak bimbang juga memikirkan kemungkinan saya terjerumus dalam sesawang konspirasi seperti yang diceritakan oleh Parameswari. Jika segala apa yang beliau ceritakan adalah benar, entah apa yang mampu dilakukan oleh organisasi yang menaja kedua-dua pensyarah saya.
“Saya sudah pening.” Saya memegang kepala dengan kedua-dua tangan. “SJKT Ladang Siru Kambam terletak di bawah tabung amanah Kuil Sivaperuman. Jawatankuasa itu pula ada kaitan rapat dengan Pertubuhan Politik India (PPI) cawangan Siru Kambam. PPI sentiasa memperjuangkan bahasa Tamil, budaya Tamil dan segala apa yang berkaitan dengan Tamil. Jadi, mana mungkin PPI, pihak kuil dan pensyarah saya terlibat dalam konspirasi menutup sekolah Tamil dan menjual tanah itu?”
Parameswari tidak segera menjawab. Wanita itu juga ternyata tidak marah mahu pun terkejut dengan pandangan yang saya kemukakan. Sebaliknya beliau membuka sebuah fail lain dan mengeluarkan kembali foto Presiden PPI bersama seorang wanita jelita.
“Wanita seksi ini adalah salah seorang aktivis dalam organisasi ini,” katanya sambil jari telunjuk menuding salinan kepala surat pertubuhan yang dimaksudkan. “Hasil pujukan serta habuan seks, Presiden PPI sudah menukar hak milik Dewan Besar Siru Kambam kepada wanita ini. Adik tahu di mana letaknya dewan itu?”
Saya menggeleng. Saya pernah membaca mengenai dewan itu dalam buku “Unknown Facts About Little Known Siru Kambam” tetapi tidak pernah berpeluang melihatnya walaupun belajar di Kolej Siru Kambam sejak dua tahun lalu.
“Dewan Besar Siru Kambam sudah bertukar menjadi pejabat cawangan organisasi ini,” katanya sementara tangan kanan menepuk-nepuk kepala surat tadi.
Oh! Rupa-rupanya bangunan pejabat itulah dahulu merupakan Dewan Besar Siru Kambam. Encik Krishna dan Encik Kumara selalu juga mengajak saya menyertai perjumpaan dan aktiviti organisasi tersebut pada hujung minggu. Menurut mereka, saya boleh mendapatkan bekalan beras, gula, kacang hijau, air mineral dan sebagainya secara percuma jika menjadi ahli.
“Mengapa puan menceritakan semua ini kepada saya? Tentu sahaja saya tidak boleh memasukkan pendedahan ini dalam tugasan yang perlu ditulis.”
Sambil berkata begitu, saya berfikir: Matilah saya kalau Encik Kumara dan Encik Krishna tahu bahawa saya sudah tahu mengenai perancangan licik mereka! Atau mungkinkah itu rancangan sebenar mereka? Supaya saya tahu kisah sebenar?
“Mengapa saya menceritakan semua ini kepada adik?” Parameswari bertanya kembali sambil tersenyum. “Bukankah adik sendiri yang datang bertemu saya untuk mendapatkan maklumat mengenai SJKT Ladang Siru Kambam?”
Saya memandang wajah wanita itu; mengharapkan jawapan yang lebih tulus. 
“Saya sudah berjuang secara sendirian sejak 1996. Sebelum sesuatu yang buruk berlaku terhadap saya, elok saya ceritakan kepada orang.”
Lalu saya memutuskan untuk menceritakan pula kisah ini kepada anda sebelum sesuatu berlaku ke atas saya. Seperti yang sudah berlaku ke atas Parameswari.

RUJUKAN ASAL : KLIK DI SINI


1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete