Aku ceduk dari tuan yang empunya citer . Namanya JAMIL MAJLIS
Asyik aku membaca kesahnya .... tanpa kebenarannya .... aku simpan dalam koleksi perbadiku iaiaitu Blog Labun Cikgu Lin .... dah tentu tak ilang .... aku copypaste .... sikit pun aku tak ubah atau tambah ... ORIGINAL.
Maaf aje ler .... kalau marah aku delete balik.
KAWAN JADI MERTUA
Maaf aje ler .... kalau marah aku delete balik.
KAWAN JADI MERTUA
Pekan Lambor yang terletak di tepi tebing sungai Perak begitu meriah dengan para peniaga memperdagangkan barang jualan mereka. Yeop Majlis mempunyai hubungan yang rapat dengan kebanyakan dari para peniaga di situ kerana pernah berurusniaga bersama mereka suatu waktu dahulu. Kawan-kawan rapatnya juga ada yang masih berniaga di situ, antaranya Mad Nali yang membuka kedai jahit pakaian dan songkok.
Berdekatan kedai Mad Nali terdapat sebuah kedai kopi yang menjadi kelaziman Yeop Majlis duduk untuk minum dan bertemu kawan-kawan yang seangkatan dengannya. Pada hari itu Yeop mengunjungi kedai kopi berkenaan dan kebetulan dua orang kawan rapatnya, Tok Sidang Tain dan Haji Amah sedang duduk bersembang di sebuah meja.
“Assalamu ‘alaikum. Berdua aje hari ni?” Yeop memulakan sapaan.
“Wa’alaikum salam. lama tak nampak mike saghi due ni, ngajo jauh ke.” Sahut Hj Amah.
“Idak juge, sejak arwah Mi tak ada ni, teman agak berserabut sikit. Anak-anak kecik kat ghomah tu tak ada siapa nak mengelolanya, harapkan abang kakaknya aje, ater deme pun memacam ghagamnya dengan hal memasing.” Luahan Yeop mengadu tentang kesulitannya selepas beberapa bulan kematian isteri pertamanya. Ketika itu isteri keduanya juga sedang beranak kecil dan duduk jauh di Teluk Anson sana.
“Ater, caghi aje le gantinya cepat. Senang mike nak ngajo ke mana-mana.” Hj Amah memberi cadangan.
“Isy, ada ke sape yang nak kawin dengan orang tua ni. Kalau ambik orang tua juga, laghat ke pulak dia nak mengelolakan anak-anak kecik teman tu.”
“Ater, apa susahnya Yeop, anak kawan kita ni kan ada.” Satu cadangan berani Hj Amah sambil menepuk bahu Tok Sidang Tain yang sedari tadi hanya menjadi pendengar yang baik. Yeop berasa tersipu malu dengan cadangan tersebut berdepan dengan Tok Sidang Tain.
“Anak yang mana satu pulak, rasanya Besah (Habsah) tu seorang aje anak perempuannya. Bukan ke dia udah bertunang dengan orang seberang sana.” Soal Yeop ingin kepastian. Ketika itu barulah Tok Sidang Tain bersuara menerangkan keadaan sebenar.
“Sebenarnya mereka dah putus tunang, hai.. entahlah, tak taulah apa masalahnya budak-budak ni. Emmm…. Kalau mike rasa berkenan, teman idak le menghalang.”
“Ooo… gitu ke, ater kalau udah sah putusnya, dan mike pun tak kisah, teman pun tak kisah, setuju aje.” Ujar Yeop tersengih gembira.
“Alhamdulillah… haa kan senang, selesai satu masalah.” Sambut Hj Amah menumpang rasa gembira.
Tok Sidang Tain pulang ke rumah dengan senang hati. Sesampainya di rumah, cepat-cepat ia memanggil anaknya, Habsah dan menyatakan keputusannya untuk menjodohkannya dengan tuan guru Yeop Majlis. Pada mulanya Habsah rasa keberatan juga untuk menerima, kerana merasakan jodohnya itu sudah tua, lebih 50 tahun. Tetapi disindir ayahnya, “Kamu tu pun udah tua, jangan nak memilih sangat, besok sampai ke sudah tak kawin.”
Habsah menyedari dirinya pun sudah masuk 26 tahun. Di mana pada zaman itu kebanyakan wanita berkahwin sedari umur 15 tahun, bahkan ada yang berkahwin lebih muda dari itu. Berkahwin umur 26 di kira sudah lewat. Lebih-lebih lagi kebanyakan kawan-kawan yang sebaya dengannya di kampung semuanya sudah berumah tangga. Sedangkan dirinya sudah beberapa kali ingin disunting, tetapi tidak menjadi. Bertunang pun sudah dua kali, sekali dengan orang Bota, dan yang akhir dengan orang Lambor Kiri, dan kedua-duanya putus juga.
Atas pertimbangan tersebut, dan diperkuatkan lagi dengan pujukan dari kedua abangnya, Muntaha dan Nordin, Habsah akhirnya bersetuju menerima pinangan Yeop Majlis. Tidak lama kemudian pernikahan mereka dilangsungkan. Penduduk kampung merasa gembira sekali apabila anak Tok Sidang mereka dikahwinkan dengan seorang guru agama yang disegani pada waktu itu.
Sebaik selesai upacara akad nikah, Yeop bersalaman dengan Tok Sidang Tain, tersenyum dan bergurau, “Tak sangka pulak jadi menantu mike, minta maafla apa-apa yang terkasar semasa kita bergurau senda selama ini.” Tok Tain menyambut tangan Yeop, “ Hah, jangan lupa lepas ni panggil aku ayah.”
Kemudian Yeop bergurau pula dengan isterinya, “Kalau aku tahu kamu nak jadi bini aku, aku peghati bebeno kamu masa ambik gambo paspot kamu dulu.” Rupanya, semasa hendak membuat kad pengenalan Habsah dulu, gambarnya diambil dengan kamera Yeop. Mereka menyebut kad pengenalan itu paspot (passport). Tidak ramai masa itu orang yang ada kamera.
Setelah menjadi isteri, Habsah dibawa duduk bersamanya. Anak-anak Yeop dengan isteri pertamanya yang masih kecil, iaitu Hambal, Arbaiyah dan Mohamad Ali dijaga sepenuhnya oleh Habsah dengan penuh kasih sayang. Anak-anak yang lain, Zainun sudah berkahwin dan tinggal di Teluk Sareh. Naser dan Yahya sudah muda dan mula mencari penghidupan di luar, manakala Sabariah sudah mempunyai kekasih hanya menunggu masa untuk disatukan.
Hasil perkahwinannya dengan Habsah, mereka dikurniakan 9 orang anak pula, iaitu:
ASMA
BURHANUDDIN
ABDUL RAHIM
SALIHUN
MOHAMAD JAMIL
JAMALUDDIN
JALALUDDIN
ABDUL JALIL
KHALILI