Wednesday 3 April 2013

BERITA MENGENAI PEMBUBARAN PARLIMEN DAN DUN-DUN NEGERI DI MALAYSIA.







Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Parlimen dibubarkan berkuatkuasa hari ini selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13.


Beliau membuat pengumuman itu secara langsung pada jam 11.35 pagi ini selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong.


Berikutan itu, beliau meminta menteri besar dan ketua menteri, kecuali Sarawak dan Negeri Sembilan, supaya memohon perkenan raja dan sultan masing-masing untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya pilihan raya umum dapat diadakan secara serentak.


DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac bagi memberi aluan kepada pilihan raya negeri diadakan.     

Manakala Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri pada 16 April 2011.   
Pilihan raya umum kali ini ialah yang pertama buat Najib yang akan memimpin jentera BN selepas mengambil-alih jawatan perdana menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April 2009.
Selepas dibubarkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus menetapkan tarikh pilihan raya akan berlangsung. Undang-undang menetapkan ia mesti dibuat dalam tempoh 60 hari.

Mandat kerajaan semasa akan berakhir pada 28 April 2013. 


Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen. 

Najib membuat pengumuman tersebut hari ini sempena ulangtahun keempatnya sebagai perdana menteri, selepas mengambil alih pentadbiran daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April 2009.

BERITA-BERITA LAIN (Di bawah ini).

Pembubaran DUN Pulau Pinang ditentukan esok

GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, sebentar tadi mengumumkan bersetuju mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13 untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan kerusi Parlimen.

DUN Melaka bubar hari ini

AYER KEROH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka secara rasminya dibubarkan selepas Yang Dipertua negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob menandatangani  notis pengisytiharan pembubaran DUN kira-kira jam 1 petang tadi.

Najib ambil kira pelbagai aspek sebelum bubar Parlimen: G Palanivel

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil kira pelbagai aspek sebelum membuat keputusan untuk membubarkan Parlimen, hari ini.

Kerajaan terus tugas dan tanggungjawab sedia ada: Najib

KUALA LUMPUR: Kerajaan yang ada akan meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sesuai dengan prinsip keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang sehingga selesai proses pilihan raya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

SPR bermesyuarat seawal Jumaat ini untuk tentu tarikh penamaan calon dan hari mengundi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Jumaat ini atau awal minggu depan bagi menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundi, kata Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

BN P. Pinang sedia rampas kembali negeri dari pakatan pembangkang

GEORGETOWN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow menegaskan pihaknya sememangnya sudah bersedia untuk berkempen dan merampas semula negeri ini dari pakatan pembangkang.

Negara ditadbir kerajaan sementara selepas Parlimen dibubar

KUALA LUMPUR: Selepas pembubaran Parlimen, Perdana Menteri dan anggota jemaah menteri akan meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai kerajaan sementara yang mentadbir urusan negara.

SPR masih tunggu surat pemakluman daripada Speaker Dewan Rakyat, DUN

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih menunggu surat pemakluman daripada Speaker Dewan Rakyat serta Speaker Dewan Undangan Negeri yang lain sebelum boleh menentukan tarikh mesyuarat khas untuk menetapkan tarikh penamaan dan pengundian pilihan raya.

MB Perak menghadap Pemangku Raja, jam 2.30 petang ini

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan menghadap Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah jam 2.30 petang ini di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk mohon perkenan bubar DUN.

BN Sarawak sudah sedia hadapi PRU-13

Petra Jaya: Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berkata Barisan Nasional (BN) Sarawak sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Kerajaan BN sanjung tinggi kepercayaan rakyat selama ini: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata beliau bersama barisan pimpinan kerajaan amat menghargai dan menjunjung tinggi kepercayaan yang diberikan rakyat selama ini.

Cubaan bunuh Mahathir: Sekumpulan ulama Kelantan memohon maaf

PUTRAJAYA: Sekumpulan ulama dari Kelantan termasuk bekas Exco Pemuda PAS Kedah, Zainon Ismail yang pernah terbabit dalam rancangan membunuh Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bertemu dengan bekas Perdana Menteri itu untuk memohon maaf.

PAS kemuka lima muka baru bertanding di Perlis

KANGAR: PAS Perlis pagi ini mengumumkan penyenaraian lima muka baru mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di negeri ini, termasuk di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang.

Parti politik perlu lebih bertanggungjawab: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan semua parti politik yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) supaya bersikap lebih bertanggungjawab.

Mohd Ali jumpa Yang Dipertua Negeri untuk bubar DUN Melaka

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dijangka menghadap Yang Dipertua Negeri untuk perkenan bubar DUN, jam 12.30 tengah hari ini.

Parlimen bubar hari ini

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

PM minta kerajaan negeri bubar DUN serentak

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, semua kerajaan negeri dinasihatkan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing; kecuali Sarawak berkuat kuasa pada tarikh sama, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak.

Pembubaran mendapat perkenan Agong

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, pembubaran Parlimen mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Najib tiba di Pejabat PM pengerusikan mesyuarat Kabinet

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak tiba di Pejabat Perdana Menteri kira-kira jam 9.30 pagi tadi bagi mempengerusikan mesyuarat Kabinet, sebentar lagi.

Perdana Menteri berucap di televisyen jam 11.30 pagi ini

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri akan berucap secara langsung di televisyen pada jam 11.30 pagi ini, demikian menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

Sekian, terima kasih.


No comments:

Post a Comment