Wednesday 27 March 2013

KETUA BAHAGIAN PERAK TIDAK DICALONKAN. ULASAN AKU DALAM ABN NEWS 25 MAC 2013.



BERIKUT DIPAPARKAN ULASAN AKU
BERKAIT DENGAN TAJUK YANG DIBERIKAN DI BAWAH INI.




12 Ketua UMNO bahagian Perak tidak dicalonkan?

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berdepan tugas untuk meniup pembaharuan kepada UMNO Perak.
Oleh Azizul Osman (azizul@abnxcess.com)
Menjelang Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) “khabar angin” di Perak kuat bertiup menyatakan separuh daripada Ketua UMNO Bahagian di negeri itu digugurkan daripada senarai calon.
Pemilik blog cikgulin57.blogspot.com kami rujuk untuk mendapatkan kepastian berita itu, namum beliau enggan mendedahkan senarai nama Ketua Bahagian yang dijangka digugurkan dari senarai calon.
Malah beliau menjelaskan faktor-faktor yang boleh dipercayai mengapa nama-nama itu digugurkan.
“Masalah nama tercicir ini berbagai-bagai antaranya pertelingkahan dikalangan pemimpin-pemimpin bahagian, prestasi yang kurang memberangsangkan dan kalah di pilihanraya lalu”. Katanya ketika dihubungi ABN News.
Pergolakan diantara Ketua bahagian katanya akan mengeruhkan keadaan pada PRU13 akan datang.
Memberi contoh, “pertelingkahan” bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Hamzah Zainuddin dengan Ketua UMNO Bahagian Larut Datuk Seri Raja Ahmad Zainudin Raja Omar yang menolak pencalonan Datuk Hamzah pada pemilihan Ketua Bahagian Larut pada 2008 lalu.
Mesej "Jangan Sabotaj Parti" oleh pemimpin UMNO.
Mesej “Jangan Sabotaj Parti” oleh pemimpin UMNO.


Juga kata beliau akan ada unsur-unsur sabotaj dikalangan pemimpin-pemimpin bahagian akibat kecewa kerana tidak disenaraikan sebagai calon PRU13.
“Di Taiping, oleh sebab Datuk Zahid adalah exco sukar untuk Datuk Ahmad Shalimin untuk bertanding di sana, seolah-olah merugikan kepada UMNO”. Katanya memberikan contoh.
Ini jelas Cikgulin lagi, sekiranya dicalonkan diluar daripada lokaliti beliau, maka Ahmad Shalimin dijangka akan mengalami kekalahan teruk kerana kawasan terbabit adalah kubu kuat PAS dibawah penyandangnya, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
Menyentuh Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang pula, Cikgulin berkata bahawa krisis di kawasan itu timbul apabila keputusan Pilihanraya Kecil Bukit Gantang pada 2009 yang tidak menyebelahi kepada BN.
“Yang ada krisis, kesilapan yang berlaku pada Ketua Bahagian Bukit Gantang apabila membiarkan Datuk Ismail Safian kalah kerana mereka beragenda melebihkan UMNO daripada menang pilihanraya”.
Katanya lagi, itu yang berlaku pada PRU12 lalu apabila ada pihak yang membiarkan calon itu kalah tanpa memberikan bantuan disebabkan gagal disenaraikan sebagai calon.
ABN News berjaya mendapatkan ulasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam berhubung isu calon.
Menurutnya Ketua UMNO Bahagian tidak semestinya akan disenarakan sebagai calon pilihan raya.
“Kalau ketua bahagian, tak semestinya menjadi calon kalau bertanding dia kalah kan, buat apa? Lebih baik dia (Ketua Bahagian) tidak bertanding,” kata Ahamad Pakeh kepada ABN News.
Ditanya samada kemungkinan akan dicalonkan, jelas Ahamad beliau meletakkan sepenuhnya kepada keputusan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.
SuaraPakatanDaily pada 14 Mac lalu mengeluarkam laporan bahawa 12 Ketua UMNO Bahagian di Perak tidak akan dicalonkan atas tiket BN untuk PRU13 akan datang.
Menurut Koordinator, Jawatankuasa Strategik dan Isu, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak Dr. Raja Ahmad Iskandar Al Hiss berkata menurut maklumat yang diterimanya, ada di antara kerusi mereka itu akan diberikan kepada yang bukan pimpinan utama Umno Bahagian atau calon bukan ahli parti.
“Perkara ini dilihat sama sepertimana yang sebelum ini dilakukan oleh Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd. Kadir yang memberikan kerusi-kerusi penting di dalam kerajaan atau pun agensi-agensi kerajaan negeri untuk lantikan politik kepada ‘orang-orang kepercayaannya’ sahaja. Usaha untuk ‘mengantikan’ orang Tan Sri Haji Mohammad Tajol Rosli Tan Sri Mohamed Ghazali juga turut dilakukan kerana selepas PRU 13 nanti akan diadakan Pemilihan Agung Tahunan Umno di seluruh Negara”.
Merujuk laporan Peraktoday, UMNO Bahagian Parit mengeluarkan kenyataan bahawa bahagian itu memberi kuasa penuh kepada Presiden parti untuk memilih calon PRU13 akan datang.
Ketua Umno Bahagian Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan, berkata keputusan itu selaras dengan usul sebulat suara yang dibahaskan dalam mesyuarat perwakilan Bahagian Parit yang berlangsung di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar pada tahun lalu.
Ketetapan itu dibuat bagi memastikan semua calon yang dikemukakan bagi mewakili BN di Parlimen Parit, Bota dan Belanja menang besar mengalahkan calon pembangkang.
jangan sabotaj parti 2
Zaim yang dihubungi ABN News turut berkata kenyataan Raja Ahmad Iskandar itu adalah provokasi pembangkang untuk memecah-belahkan perpaduan dikalangan ketua-ketua bahagian UMNO di Perak.
“Ini satu provokasi pembangkang untuk menimbulkan masalah kepada UMNO. Sehingga kini belum ada apa-apa pengumuman dari UMNO Pusat mengenai senarai calon BN di Perak, jangan percaya kepada berita itu,” katanya.
Ketua UMNO Bahagian Lenggong Datuk Saarani Mohamad turut menepis dakwaan bahawa sebilangan daripada Ketua Bahagian UMNO Perak marah akan tindakan Pengerusi Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Perak yang juga Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang didakwa menggugurkan sebahagian nama ketua bahagian dalam senarai calon untuk PRU13.
Malah Saarani menegaskan tidak akan berlaku masalah sekiranya separuh daripada 24 ketua bahagian itu tidak disenaraikan sebagai calon.
“Tidak jadi masalah jika 12 orang Ketua Bahagian tidak terpilih sebagai calon PRU13, ia bukan perkara pelik. Selama ini pun ramai ketua bahagian tidak jadi calon,” katanya selaku ADUN Kota Tampan yang akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti mengenai senarai calon BN.
Ujarnya, sekiranya nama beliau digugurkan untuk PRU13, beliau akan memberi sokongan kepada calon pucuk pimpinan BN bagi memastikan parti itu menang dalam pilihan raya akan datang.
Jelas beliau semua Ketua UMNO bahagian di Negeri Perak pada 17 September tahun lalu berikrar di hadapan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyokong calon-calon yang diputuskan Barisan Nasional dalam PRU13 kelak.
Menurut laporan sebuah blog politik, taipingmali dalam laporan itu menyatakan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr. Zambry mengesahkan semua 24 orang pemimpin UMNO di negeri itu ada membuat ikrar tersebut.
Beliau yang juga ADUN Pangkor yakin peluang Barisan Nasional negeri untuk memperbaiki prestasi serta merampas semula sebahagian besar kerusi-kerusi dari pembangkang bakal menjadi kenyataan.
PRU12 menyaksikan BN Perak tewas buat pertama kali kepada Pakatan Rakyat namun setelah 11 bulan, DUN Perak berpindah semula ke pangkuan BN.
Dr. Zambry turut mengingatkan tindakan disiplin boleh dikenakan jika terdapat mereka yang tidak dicalonkan mensabotaj parti.
“Kita tak boleh terima ada di kalangan kita cuba nak mensabotaj parti semata-mata kerana ada agenda peribadi,” katanya.
Katanya salah satu sebab BN Perak tewas kepada Pakatan Rakyat ialah tindakan beberapa pemimpin peringkat bahagian melawan arus dengan menentang arahan pucuk pimpinan.
Sesetengah daripada mereka sanggup menutup bilik gerakan kerana mereka tidak dicalonkan mempertahankan kawasan yang pernah mereka wakili.
Sesetengah pemimpin yang tidak berpuas hati dengan calon yang di anggap sebagai payung terjun juga bersikap “gunting dalam lipatan”.



HUBAYA-HUBAYA


WALLAHHU 'ALAM





No comments:

Post a Comment